Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Kidung Agung 3

A A A
Alkitab Versi Borneo

Impian mempelai perempuan

1Sepanjang malam, di katilku

kucari kekasih hatiku.

Kucari, tetapi dia tidak kutemui.

2"Aku akan bangun sekarang dan mengelilingi kota.

Di jalan-jalan dan di tempat-tempat umum

akan kucari kekasih hatiku."

Kucari, tetapi dia tidak kutemui.

3Para pengawal yang mengelilingi kota menemui aku.

"Adakah kamu melihat kekasih hatiku?"

4Sejurus sesudah kulalui mereka,

aku menemui kekasih hatiku.

Kurangkul dia dan tidak kulepaskan

sampai kubawa dia ke rumah ibuku,

ke bilik orang yang mengandungkan aku.

5Dengan sungguh-sungguh aku minta kepadamu, wahai para puteri Yerusalem,

demi kijang-kijang dan rusa-rusa betina di padang,

jangan bangkitkan dan jangan gerakkan cinta

sebelum dikehendakinya.

Tibanya rombongan mempelai laki-laki

6Siapakah itu, yang muncul dari gurun

bagaikan tiang asap,

bak ombak yang harum dengan damar wangi dan kemenyan,

daripada pelbagai serbuk wangian para pedagang?

7Lihat, itu tandu Salomo!

Enam puluh orang kesateria mengelilinginya,

daripada kalangan kesateria Israel.

8Semuanya lengkap dengan pedang,

dan siap terlatih ilmu peperangan.

Masing-masing dengan pedang di pinggang,

siap menghadapi ancaman kengerian malam.

9Raja Salomo membuat tandu peribadinya

daripada kayu Lebanon.

10Dengan tiang-tiangnya daripada perak,

penyandarnya daripada emas,

dan tempat duduknya daripada kain ungu.

Bahagian dalamnya ditatah dengan kasih para puteri Yerusalem.

11Wahai para puteri Sion, keluarlah

dan pandanglah Raja Salomo

dengan taj yang dimahkotakan oleh bondanya

pada hari pernikahannya,

pada hari kesukaan hatinya.